Home » » TAU TAK? - Bagaimana Cara Orang Melayu Dahulu Beraya?

TAU TAK? - Bagaimana Cara Orang Melayu Dahulu Beraya?

Apa yang kita lalui zaman sekarang adalah jauh berbeza dengan zaman dulu kala. Pernah tak korang terfikir bagaimanakah orang melayu dahulu beraya ?
SEBELUM kedatangan sebarang agama ke Alam Melayu, penduduk di rantau ini seperti juga di lain-lain tempat di Asia Tenggara menganut kepercayaan alam roh, maknanya semua benda dipercayai ada roh, pokok, binatang dan lain-lain.
Maka roh paling utama ialah pada padi. Tanpa beras, orang Melayu akan mati.
Justeru perayaan paling besar tentunya ketika menyambut hari menuai padi. Seperti mana hari perayaan pribumi Sarawak, Sabah dan Orang Asli, maka begitu jugalah apa yang dilakukan oleh orang Melayu dan semua kaum di Nusantara.
Dipanggil sambutan ini sebagai Hari Raya kerana ia merujuk kepada kebesaran sesuatu perayaan. Ia merupakan hari meraikan atau merayakan kejayaan penanaman padi. Tetapi cara hidup orang Melayu kemudian berubah apabila mereka bukan saja menjadi masyarakat petani tetapi juga menjadi bangsa berdagang. Mereka mampu membina kapal-kapal besar untuk berlayar. Menjadi bangsa maritim bermula dengan keupayaan orang Melayu mewujudkan kerajaan di pesisiran pantai dan kuala sungai. Mereka membina pelabuhan bagi menarik kunjungan kapal-kapal dagang dari China, India, Parsi dan Arab.
Di sinilah munculnya kerajaan Sri Wijaya. Daripada kunjungan kapal-kapal ini, maka agama Hindu pun bertapak di alam Melayu. Sebagai bangsa maritim, orang Melayu sudah tidak lagi menyambut hari menuai sebagai hari kebesarannya yang utama. Dengan beragama Hindu, orang Melayu turut menyambut hari Perayaan Cahaya mengatasi Kegelapan. Dalam sambutan Diwali atau Deepavali, lampu-lampu dipasang di keliling rumah. Suatu amalan Hari Raya yang kini sudah menjadi sebahagian daripada budaya Melayu.
Merantau
Orang Melayu kuat merantau. mereka berlayar di sekitar kepulauan Melayu. Walaupun terdiri daripada banyak kerajaan, tetapi Nusantara adalah Dunia Melayu.
Maka setiap Hari Raya, mereka akan balik ke kampung halaman seboleh mungkin untuk menemui ibu, bapa dan sanak saudara. Amalan balik kampung menjadi suatu kemestian semasa Hari Raya kini terus diamalkan oleh orang Melayu.
Tetapi menarik untuk mengetahui bagaimanakah orang Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika mula memeluk agama Islam.
Cuba bayangkan bagaimana orang Melayu zaman kesultanan Melaka menyambut Hari Raya. Lebih-lebih lagi pada tahun pertama mereka memeluk Islam. Tentu sukar bagi istana Melaka, apatah lagi rakyatnya berpuasa.

Bagaimanakah pihak istana membuat keputusan untuk menjadikan Hari Raya Aidilfitri sebagai Hari Raya bagi orang Melayu? Mengapa mereka memilih Hari Raya Puasa dan bukannya Hari Raya Haji?
Dalam ibadat, dikatakan orang Melayu lebih menekankan tentang puasa berbanding ibadat lain. Pendakwah berjaya meyakinkan keseluruhan masyarakat Melayu supaya berpuasa, bertarawih dan mengharapkan Lailatul Qadar. Maka Hari Raya menjadi begitu bermakna bagi orang Melayu dengan dikaitkan dengan kejayaan beribadat puasa.

Pada Hari Raya pula, ulama Melayu dahulu membuat keputusan untuk mengambil takbir raya yang bernada syahdu. Ini kerana di lain-lain tempat, takbir mereka bernada semangat juang. Ini kerana takbir itu berasal daripada laungan semasa Perang Badar, yang kemudian diabadikan dalam sambutan meraikan kemenangan perang itu.

Tetapi bagi orang Melayu di Nusantara, nada takbir adalah berbentuk sayu dan sedih mengenangkan sanak saudara yang sudah tiada atau pergi tidak kembali. Ini kerana bagi masyarakat Melayu, balik kampung waktu Hari Raya adalah penting. Jika tidak dapat balik, maka si ibu atau bapa akan teringatkan anaknya terutama semasa takbir yang bernada sedih dan sayu.

SUMBER
Oh begitu rupanya bagi kita orang melayu beraya sebelum dan selepas kedatangan Agama Islam. Namun yang menyedihkan zaman sekarang adalah, ada jugak anak yang tak pulang ke kampung dan zaman sekarang jugak mungkin ada yang dah tiada kampung dan tak dapat merasakan nikmat berada di kampung dan beraya - Koleksi Informasi

0 comments:

Post a Comment